Sabtu, 26 Oktober 2013

2 ditahan cuba seludup keluar 876 ayam proses


Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Penyelidikan Halal dan Hab Halal Jabatan Agama Islam Perlis, Dharulkhizan Mohamad (kanan) menunjukkan bahagian leher ayam tidak dipotong mengikut cara Islam kepada Zakaria Abd. Rahman (kiri) sambil dibantu Komander UPP Chuping, Asisten Supritendan, Syed Basri Syed Ali di Kompleks UPP Chuping, Padang Besar, Perlis, kelmarin.
 
PADANG BESAR 24 Okt. - Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping merampas 146 kotak berisi 876 ekor ayam siap diproses yang cuba diseludup ke negara jiran setelah menahan sebuah lori muatan lima tan di Ulu Pauh, Arau dekat sini kelmarin.

Dalam rampasan pukul 10.30 pagi itu, pasukan tersebut turut merampas 253 kotak hati ayam dan itik juga telah siap diproses yang kesemuanya diisi di dalam 40 guni plastik putih.

Komander UPP negeri, Deputi Supritendan Zakaria Abd. Rahman berkata, lori itu ditahan untuk pemeriksaan di Kilometer 24, Ulu Pauh ke Padang Besar.

"Hasil pemeriksaan menemukan ayam serta hati ayam dan itik yang siap diproses. Meskipun di luar kotak tertera logo halal tetapi kita mengesyaki haiwan itu tidak disembelih mengikut syarak.


"Berikutan itu, pemandu dan kelendan lori berusia 29 dan 30 tahun tersebut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di UPP Chuping dekat sini hari ini.

Zakaria berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengesahkan sumber bekalan haiwan tersebut diperoleh dan kedua-duanya akan disiasat atas kesalahan salah guna logo halal di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011.

Tambahnya, bagi individu, mereka yang melakukan kesalahan boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali jika didapati bersalah.

Katanya, bagi kesalahan untuk syarikat pula, denda RM250,000 bagi kesalahan kali pertama manakala RM500,000 bagi kesalahan kedua.

Beliau berkata, kes itu akan diserahkan untuk tindakan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan